Thursday, May 6, 2010

Lebih 20,000 Naskhah Al-Qur'an Wakaf Telah Disumbangkan

Sehingga ke hari ini lebih 20,000 naskhah Al-Qur'an Rasm Uthmani yang diuruscetak oleh Percetakan Saufi telah disumbangkan di bawah Skim Al-Qur'an Wakaf kepada pihak-pihak tertentu di Negeri-negeri Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Pahang.

Pengerusi Percetakan Saufi, Haji Rahmat Mahdan memohon orang ramai, badan-badan korporat dan pihak-pihak berkuasa kerajaan serta swasta  terus membuat sumbangan wakaf sebanyak RM30.00 untuk senaskah Al-Qur'an supaya dapat pula diagih-agihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan di seluruh negara.

Beliau juga memohon institusi pendidikan, masjid, surau dan orang ramai yang masih menyimpan naskhah al-Qur'an lama yang telah usang dan rosak, serta kitab-kitab, buku-buku teks dan buku latihan, poster, bahan hiasan dan sebagainya yang mengandungi ayat-ayat suci untuk dikumpul dan dimusnahkan mengikut kaedah yang tertib dan mengikut syariat.

Kepada pihak-pihak yang berhajat untuk menyumbang wakaf Al-Qur'an serta pelupusan ayat-ayat suci bolehlah menghubungi Percetakan Saufi di talian 019-3376159.

Wednesday, March 24, 2010

1,500 Naskhah Al-Qur'an Rasm Uthmani Untuk Wilayah Persekutuan

Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf sumbangan Percetakan Saufi kepada SRA (Sekolah Rendah Agama) JAWI telah dilangsungkan di Dewan Hadhari pada 23 Mac 2010. Sumbangan ini khusus kepada sekolah-sekolah rendah agama di seluruh Wilayah Persekutuan. 


Penyerahan Al-Quran Wakaf kepada wakil-wakil zon telah disampaikan oleh Hj. Rahmat Mahdan (Pengerusi Percetakan Saufi). Turut hadir sama ialah Y.Bhg Ustazah Noor Khalidah Binti Hj. Abdul Rashid, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pelajaran JAWI dan Y.Bhg Ustazah Kamariah Abdullah, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pelajaran JAWI.


Pada majlis ini, Percetakan Saufi memohon kepada Sekolah-sekolah Agama W Persektuan supaya dapat mengumpulkan Al-Qur'an lama dan usang termasuk kitab-kitab, buku-buku teks, buku-buku kerja dan latihan, poster dan sebagainya untuk dilupuskan mengikut tertib dengan cara pembakaran menggunakan insenarator.


Bagi Wilayah Persekutuan, Percetakan Saufi setakat ini telah menyumbangkan sebanyak 1, 500 naskhah untuk diagih-agihkan kepada pihak masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama.

Wednesday, March 17, 2010

Majlis Penyerahan Al-Qur'an Wakaf anjuran Percetakan Saufi menjelajah pula ke Negeri Pahang Darul Makmur. Di Kuantan, bertempat di Dewan Utama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang telah berkenan menerima sumbangan tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam Pahang (MUIP).

Pengerusi Percetakan Saufi, Haji Rahmat Mahdan telah menyembahkan sumbangan tersebut kepada DYTM Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sempena Seminar Pensyariatan Zakat dan Penyerahan Serta Agihan Zakat pada 16 Mac 2010 bersamaan 30 Rabiulawal 1431H.

Sumbangan sebanyak 5,000 naskhah Al-Qur'an Rasm Uthmani tersebut adalah untuk diagih-agihkan kepada pihak masjid, surau dan sekolah-sekolah Agama seluruh negeri Pahang Darul Makmur.

Saturday, March 13, 2010

Pelupusan Ayat-ayat Suci Perlu Tertib

Mungkin kita sering terlepas pandang, apabila bahan-bahan bacaan sama ada buku teks, buku kerja, buku latihan, poster dan sebagainya yang mengandungi ayat-ayat suci dibuang begitu sahaja. Yang lebih malang apabila bahan-bahan tersebut dijual sebagai 'paper-lama' dan dikitar semula dengan bahan-bahan lain seperti akhbar dan majalah. Petikan akhbar Berita Harian ini mungkin dapat membantu anda untuk menyelamatkan maruah dan kehormatan ayat-ayat suci al-Quran

Wednesday, March 3, 2010

Hayati al-Qur'an


PM Ajak Ummah Hayati Al-Qur'an

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak meminta umat Islam menjadikan al-Qur'an sebagai sumber ilmu dan intelektual dalam kehidupan di samping membaca dan menghafaz kitab suci itu. 

Katanya, al-Qur'an mengandungi mutiara pengetahuan amat berharga untuk manusia, manakala membaca dan menghafaz ayat suci adalah sesuatu yang afdal kerana diberikan pahala oleh Allah. 

Tambahnya, ilmuwan Islam terdahulu menjadikan al-Qur'an sebagai sumber berfikir dan mencetuskan anjakan perubahan dalam kehidupan bagi menyelesaikan kemaslahatan ummah.

Seturusnya beliau menambah, "Al-Quran juga membimbing kita bagaimana memahami definisi kemajuan dan modenisasi serta pedoman kepada kita (mengenai) pengertian sains dan teknologi." 

Tradisi membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat Islam akan menjadikan ilmu Islam berkembang dan menunjangi cabang ilmu serta kemajuan. 

"Ia akan membuahkan ilmu tentang akidah, ibadat, akhlak, syariah dan fekah berserta akar kekarnya yang mampu memayungi peribadi manusia yang unggul umpama pohon rendang tempat manusia menumpang teduh." 

Sumber: Johari Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi, 3 Mac 2010, bhnews@bharian.com.my

   


Saturday, February 27, 2010

5,000 Naskhah Al-Qur'an Wakaf Untuk Negeri Melaka

Sebanyak 5,000 naskhah Al-Qur’an Rasm Uthmani telah disumbangkan kepada Majlis Agama Islam Melaka. Majlis penyerahan Al-Qur’an Wakaf tersebut telah disempurnakan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaacob.

Pengerusi Percetakan Saufi, Haji Rahmat Mahdan telah menyerahkan Al-Qur’an tersebut pada majlis sambutan Maulidul Rasul yang diadakan di Masjid Al-Azim, Melaka pada 26 Feb 2010. Turut hadir pada majlis itu ialah YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tuesday, February 2, 2010

1,000 Naskhah Al-Qur’an Wakaf Untuk Daerah Kuala Pilah

Sebanyak 1,000 naskhah Wakaf Al-Qur’an Rasm Uthmani telah diuruskan oleh Percetakan Saufi untuk keperluan masjid-masjid, surau-surau dan sekolah-sekolah Agama di Daerah Kuala Pilah.

Majlis penyerahan naskhah Al-Quran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah, YB Dato’ Hasan Malek, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sempena Majlis Karnival SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) yang diadakan di Dewan Dato’ Bahaman Kuala Pilah baru-baru ini.

Pengerusi Percetakan Saufi, Haji Rahmat Mahdan menyatakan lebih banyak naskhah Al-Qur’an Rasm Uthmani akan diserahkan pada masa akan datang. Beliau berharap lebih ramai pewakaf dari daerah ini serta daerah-daerah lain di Negeri Sembilan yang berhajat untuk diwakafkan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Selain Wakaf Al-Qur’an, Percetakan Saufi juga memberi perkhidmatan pelupusan ayat-ayat suci seperti Al-Qur’an serta kita-kitab lama dan usang, juga buku-buku teks agama, buku latihan, buku tulis, poster, dan sebagainya.

Untuk pertanyaan skim wakaf dan pelupusan ayat-ayat suci sila hubungi 019-337-6159.