Wednesday, March 24, 2010

1,500 Naskhah Al-Qur'an Rasm Uthmani Untuk Wilayah Persekutuan

Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf sumbangan Percetakan Saufi kepada SRA (Sekolah Rendah Agama) JAWI telah dilangsungkan di Dewan Hadhari pada 23 Mac 2010. Sumbangan ini khusus kepada sekolah-sekolah rendah agama di seluruh Wilayah Persekutuan. 


Penyerahan Al-Quran Wakaf kepada wakil-wakil zon telah disampaikan oleh Hj. Rahmat Mahdan (Pengerusi Percetakan Saufi). Turut hadir sama ialah Y.Bhg Ustazah Noor Khalidah Binti Hj. Abdul Rashid, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pelajaran JAWI dan Y.Bhg Ustazah Kamariah Abdullah, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pelajaran JAWI.


Pada majlis ini, Percetakan Saufi memohon kepada Sekolah-sekolah Agama W Persektuan supaya dapat mengumpulkan Al-Qur'an lama dan usang termasuk kitab-kitab, buku-buku teks, buku-buku kerja dan latihan, poster dan sebagainya untuk dilupuskan mengikut tertib dengan cara pembakaran menggunakan insenarator.


Bagi Wilayah Persekutuan, Percetakan Saufi setakat ini telah menyumbangkan sebanyak 1, 500 naskhah untuk diagih-agihkan kepada pihak masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama.

Wednesday, March 17, 2010

Majlis Penyerahan Al-Qur'an Wakaf anjuran Percetakan Saufi menjelajah pula ke Negeri Pahang Darul Makmur. Di Kuantan, bertempat di Dewan Utama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang telah berkenan menerima sumbangan tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam Pahang (MUIP).

Pengerusi Percetakan Saufi, Haji Rahmat Mahdan telah menyembahkan sumbangan tersebut kepada DYTM Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sempena Seminar Pensyariatan Zakat dan Penyerahan Serta Agihan Zakat pada 16 Mac 2010 bersamaan 30 Rabiulawal 1431H.

Sumbangan sebanyak 5,000 naskhah Al-Qur'an Rasm Uthmani tersebut adalah untuk diagih-agihkan kepada pihak masjid, surau dan sekolah-sekolah Agama seluruh negeri Pahang Darul Makmur.

Saturday, March 13, 2010

Pelupusan Ayat-ayat Suci Perlu Tertib

Mungkin kita sering terlepas pandang, apabila bahan-bahan bacaan sama ada buku teks, buku kerja, buku latihan, poster dan sebagainya yang mengandungi ayat-ayat suci dibuang begitu sahaja. Yang lebih malang apabila bahan-bahan tersebut dijual sebagai 'paper-lama' dan dikitar semula dengan bahan-bahan lain seperti akhbar dan majalah. Petikan akhbar Berita Harian ini mungkin dapat membantu anda untuk menyelamatkan maruah dan kehormatan ayat-ayat suci al-Quran

Wednesday, March 3, 2010

Hayati al-Qur'an


PM Ajak Ummah Hayati Al-Qur'an

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak meminta umat Islam menjadikan al-Qur'an sebagai sumber ilmu dan intelektual dalam kehidupan di samping membaca dan menghafaz kitab suci itu. 

Katanya, al-Qur'an mengandungi mutiara pengetahuan amat berharga untuk manusia, manakala membaca dan menghafaz ayat suci adalah sesuatu yang afdal kerana diberikan pahala oleh Allah. 

Tambahnya, ilmuwan Islam terdahulu menjadikan al-Qur'an sebagai sumber berfikir dan mencetuskan anjakan perubahan dalam kehidupan bagi menyelesaikan kemaslahatan ummah.

Seturusnya beliau menambah, "Al-Quran juga membimbing kita bagaimana memahami definisi kemajuan dan modenisasi serta pedoman kepada kita (mengenai) pengertian sains dan teknologi." 

Tradisi membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat Islam akan menjadikan ilmu Islam berkembang dan menunjangi cabang ilmu serta kemajuan. 

"Ia akan membuahkan ilmu tentang akidah, ibadat, akhlak, syariah dan fekah berserta akar kekarnya yang mampu memayungi peribadi manusia yang unggul umpama pohon rendang tempat manusia menumpang teduh." 

Sumber: Johari Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi, 3 Mac 2010, bhnews@bharian.com.my